Friday, December 19, 2014

Mahasiswa dan sebenarnya #UM8

Politik mahasiswa, memang ada berbagai-bagai ragam. Seperti yang saya jangkakan sebelum ini, akhirnya UM8 membuat keputusan untuk membuat semakan kehakiman (Judicial Review) sekiranya permohonan rayuan yang dibuat tidak dilayan.

Fahmi Zainol telah dikenakan tindakan di bawah kaedah AUKU dan digantung dua semester serta denda RM600. Manakala, Safwan digantung selama satu semester, didenda RM300 dan amaran. Empat pemimpin pelajar lain masing-masing didenda RM150 dan diberi amaran. Seorang diberi amaran keras dan seorang lagi didapati tidak bersalah.

Sebelum ini memang sudah saya agak, keadaannya ini akan berlaku, Orang kata memang sudah dapat dijangka. Melihat kepada aksi gerakan mahasiswa sebelumnya, kes politik mahasiswa berprofil tinggi seperti ini pasti akan berakhir dengan tindakan seperti ini.

Dalam hal ini, saya juga harus berlaku adil. Saya tidak menyalahkan Naib Canselor sepenuhnya kerana beliau sendiri duduk di bawah arahan menteri dan menurut undang-undang yang telah ditetapkan. Seperti ulasan ringkas saya sebelum ini, soal keadilan sosial, kebebasan dan kewarasan itu adalah perkara pokok, tetapi apabila berbicara soal undang-undang, akhirnya kita akan faham ia penuh dengan isu-isu dan hal teknikal (technicality) yang kadang-kala merencatkan proses keadilan itu sendiri.

Hilman Idham, bekas pemimpin UKM dan teman-teman UKM4 dahulu juga melakukan semakan kehakiman, mereka berjaya dan akhirnya seksyen 15 AUKU terbatal kerana tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan, manakala Adam Adli, dalam semakan kehakiman terhadap pertuduhan ke atasnya gagal. Keputusan ini juga berlaku kerana hal teknikal.

Maka, Fahmi dan rakan-rakan jangan pula menangis. Ibu bapa mana pula yang tidak sedih. Tetapi, dalam hal seperti ini, sebagai pemimpin, jangan pula tunjuk sikap yang lemah. Apabila kita bercakap soal perjuangan dan mengambil keputusan untuk beraksi, soal-soal seperti ini sudah tidak wujud lagi. Malah, keputusan telah pun dibuat, maka tidak ada gunakan kesal dan bimbang. Inilah risiko jika mahu berjuang. Tidak mungkin Fahmi dan rakan-rakan tidak pernah terfikir sebelum ini.

Semakan kehakiman yang akan dilakukan ini saya kira adalah tindakan 'try and error'. Seperti saya katakan, Hilman dan UKM4 berjaya, tetapi Adam Adli gagal. Justeru, segala keputusan kelak harus diterima dengan tenang dan hati terbuka.

Dahulu, rata-rata pemimpin mahasiswa dan anak muda seperti Anwar Ibrahim (ABIM) , Ibrahim Ali (KSITM), Khairul Anwar Zainuddin (IKM), Fuad Ikhwan (UM), dan ramai lagi sudah pun pernah dijemput ke rumah tumpangan Kamunting. 

Inilah risiko perjuangan. Sebenarnya, naib canselor, penguasa dan menteri bukanlah tidak menghormati pemikiran, idealisme dan wawasan anak muda dan mahasiswa, tetapi masalahnya adalah mereka lebih menghormati kuasa daripada pemikiran, idealisme dan wawasan.

Ini namanya proses!

No comments:

Post a Comment