Friday, October 31, 2014

Universiti dan mahasiswa sudah mandul kah?





Seingat saya kali terakhir gerakan mahasiswa pasca UKM4 benar-benar datang dengan aksi adalah ketika Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS). Ketika itu saya masih bersama Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), sebagai Setiausaha Agung. Maka, aksi yang mengasyikkan ketika itu benar-benar membuatkan mahasiswa dan anak muda merasai "semangat zaman" (Zeitgeist). Itu kali terakhir benar-benar beraksi. Saya rasa lah!



Tetapi, empat hari lepas tiba-tiba Universiti Malaya gempar dengan kebanjiran anak muda dan mahasiswa dalam satu program pidato Anwar Ibrahim bertajuk 40 tahun dari Universiti Malaya ke penjara. 


Sejujurnya, ketika pertama kali program tersebut diumumkan, saya agak skeptik tentang partisipasi mahasiswa nanti. Bukan kerana figura, kerana kita sendiri tahu Anwar Ibrahim adalah figura besar. Bukan sosok Anwar yang ingin kita bincang di sini. Tidak kisah la sesiapa pun.

Tetapi, saya skeptik kerana melihat pergerakan mahasiswa semenjak dua menjak ini kerana ritmanya agak perlahan. Mungkin banyak faktor yang menyebabkan berlaku perkara ini. Tetapi, bukan tugas saya untuk mengulas.

Melihat crowd yang begitu ramai (tak kisah pelajar, anak muda dan mata-mata), saya kira ini adalah sesuatu yang agak baik terutama kepada gerakan mahasiswa yang agak perlahan aksinya hari ini.


Namun begitu, hari ini Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Saudara Fahmi Zainol telah menerima surat tindakan tatatertib daripada pihak universiti dengan sembilan pertuduhan dan perbicaraan disiplin dijadualkan akan berlangsung pada 7 November ini.

Pertuduhan-pertuduhan itu:



1. Menganjurkan satu perhimpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor.



2. Memanggil satu himpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor.


3. Menghadiri satu perhimpunan yang tidak dibenarkan universiti.

4. Menjalankan urusan yang "merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baiik universiti" di kampus.

5. Menjalankan urusan yang "merosakkan atau memudaratkan ketenteraman atau keselamatan awam, moral, kesopanan atau tatatertib" di kampus.

6. Melakukan perbuatan yang menyebabkan apa-apa halangan, kesulitan, kegusaran, kerugian atau kerosakan kepada mana-mana orang dalam universiti.


7. Memiliki alat pembesar suara atau alat-alat serupa tanpa kebenaran naib canselor.



8. Gagal mengikut arahan kakitangan atau pegawai universiti semasa perhimpunan.


9. Gagal mematuhi surat tunjuk sebab pada 23 Oktober.


Wow, ini surat tindakan tatatertib dari UM? Saya tidak hairan jika surat ini datang kepada mahasiswa UiTM kerana kita harus faham senario dan keadaan yang bagai langit dengan bumi. Tradisi gerakan mahasiswa dengan aksi di sana sudah lama mati. Cerita yang ada pun cuma sejarah, ketika zaman Ibrahim Ali menjadi Presiden KSITM dahulu. Tetapi, apabila surat ini datang dari universiti yang sferanya penuh dengan aksi mahasiswa, saya terpana.


Persoalan yang timbul dalam benak fikiran saya, adakah pertuduhan-pertuduhan di atas munasabah? Jika benar pun si Fahmi ini bersalah, mengapa wujud sehingga sembilan pertuduhan? 


Sebagai gedung ilmu dan antara universiti terulung di Malaysia, UM sepatutnya memainkan peranan dalam pembentukan mahasiswa. Mahasiswa harus diberi peluang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang tertentu seperti kepimpinan.


Mungkin UM terlupa tentang keputusan dalam kes Muhammad Hilman Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors [2011] 9 CLJ 55, Hakim Mahkamah Rayuan, Low Hop Bing JCA dalam membuat keputusannya menyebut :


" In my opinion such a provision as s. 15(5)(a) of the UUCA impedes the healthy development of the critical mind and original thoughts of students – objectives that seats of higher learning should strive to achieve. Universities should be the breeding ground of reformers and thinkers, and not institutions to produce students trained as robots. Clearly the provision is not only counter-productive but repressive in nature."


Maka, jelas di sini bahawa universiti tidak sepatutnya menjadi sarang menghasilkan robot. Tetapi ia patut melahirkan pemikir, pemimpin yang mampu mendepani zaman pada masa akan datang.


Dalam mengulas isu ini, saya tidak fikir pemimpin universiti yang ada pada hari ini tidak pernah terlibat dalam aktiviti pembangunan mahasiswa. Lihat saja figura-figura besar termasuk ahli akademik, ahli politik, ahli korporat dan dll masing-masing memainkan peranan dalam universiti masing-masing tidak kira apa pandangan sekalipun.


Dalam kes Sweezy v. New Hampshire 354 U. S. 234 (1957), Hakim Mahkamah Agung US, Chief Justice Warren Burger menyebut bahawa :


"Scholarship cannot flourish in an atmosphere of suspicion and distrust. Teachers and students must always remain free to inquire, to study and to evaluate, to gain new maturity and understanding; otherwise our civilization will stagnate and die."

Walaupun kes ini tidak mengikat (binding), tetapi ia mempunyai pengaruh yang tinggi (persuasive authority) dalam membincangkan isu ini. Saya kira pihak universiti harus sentiasa bebas dalam memberi peluang kepada mahasiswa dalam mempelajari sesuatu.


Mungkin tindakan mahasiswa ada juga silapnya, tetapi saya berpendirian bahawa kesilapan itu sepatutnya ditegur dengan baik demi kemaslahatan mahasiswa pada masa akan datang. Andai mahu keluar pertuduhan sekalipun, biarlah munasabah.


Keadilan harus diberi kepada semua mahasiswa. Tidak kira mahasiswa tersebut berada dalam parti politik kanan, parti politik kiri atau gerakan rakyat sekalipun, keadilan harus diberikan kepada semua. Kita harus buka ruang untuk mahasiswa.


Jangan sampai nanti universiti kita hanya menghasilkan robot yang tidak mampu berfikir dan akhirnya kita ketandusan golongan yang mampu memimpin negara ini. Maka, persoalan yang kini harus dijawab, universiti dan mahasiswa sudah mandul kah?