Tuesday, March 24, 2015

Kita


Ini Malaysia,

Ini negara kita,

Kalau bukan kita yang hendak menjaga,

Hendak harap kepada siapa?


p/s : Aktor-aktor politik kini sedang bertengkar tentang isu hudud yang daripada dahulu dan kini tidak berkesudahan. Kita seolah mengutamakan hal ini daripada perkara paling asas iaitu pembangunan Malaysia berdasarkan gagasan pengasasnya, mewujudkan sebuah negara yang demokratik dengan memegang prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta menyatukan seluruh rakyat. Mungkin kita lupa? Atau kita sengaja buat-buat lupa?

Thursday, December 25, 2014

Bah datang kerana tangan manusia

Selama penderitaan datang dari manusia, dia bukan bencana alam, dia pun pasti bisa dilawan oleh manusia."Pramoedya Ananta Toer

Selepas Malaysia dilanda beberapa bencana ; MH370, MH17, dll, dalam tahun yang sama Malaysia mencatatkan keadaan banjir terburuk selepas berpuluh tahun, terutamanya di Kelantan. Pelbagai spekulasi dikeluarkan oleh rakyat Malaysia terutamanya punca banjir yang berlaku pada tahun ini.

Banjir dan pantai timur, terutamanya Kelantan memang tidak dapat dipisahkan. Namun begitu, keadaan tahun ini menunjukkan satu keadaan yang agak luar biasa terutamanya dalam beberapa kawasan ; Jajahan Kuala Krai dan Gua Musang. Walau apa jua keadaan, peristiwa bah merah tetap akan diingati terutamanya oleh warga emas di Kelantan. Paling tidak, Bah Merah akan menjadi tanda aras bagi keadaan banjir setiap tahun.

Menurut catatan, hujan tanpa henti selama sepuluh hari pada tahu 1926 telah menyebabkan banjir besar yang dikenali sebagai Bah Merah telah melanda kawasan-kawasan di Kelatan. Gelaran Bah Merah diberikan oleh kerana air banjir yang bertukar menjadi warna teh susu. Dikatakan hal ini berpunca daripada bahagian hulu sungai yang runtuh dan menyebabkan air bercampur dengan lumpur. 

Kira-kira 40 tahun kemudian di penghujung 1967, satu lagi banjir besar melanda negeri Cik Siti Wan Kembang ini dan meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus penduduknya turut terjejas. Banjir itu dikatakan kurang sedikit berbanding dengan Bah Merah pada tahun 1926.  Bagaimanapun, di sesetengah tempat, banjir tahun 1967 dikira lebih besar.

Ini adalah sejarah. Namun, sejarah itu harus diingati dan dipelajari. Jika tidak pasti ia akan berulang lagi. Kali ini, sejarah berulang lagi. Ini bukti bahawa kita tidak langsung mengambil pelajaran daripada peristiwa sejarah. 

Kita mempunyai pilihan sama ada ingin menganggap banjir ini sebagai bencana alam semata, atau ia berpunca daripada tangan - tangan manusia itu sendiri. Allah S.W.T mengingatkan kepada manusia ;

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41] 

Apakah kita tidak sedar ini adalah satu lagi pelajaran buat kita? Perkara yang sering kita lupa apabila melihat musibah ini? 

Saya tidak berminat untuk menyentuh soal-soal pembalakan, isu perparitan dsb kerana ini mungkin boleh diulas oleh orang yang lebih pakar. Tetapi, apa yang pasti apa yang berlaku ini amat berkait dengan fungsi dan peranan golongan yang memimpin pada hari ini.

Dalam keadaan kita dilanda bencana seperti ini, ada juga aktor politik menggunakan isu ini bagi alat bagi mencapai impian politik, kononnya bagi melaksanakan hukum Islam kerana ini adalah peringatan daripada Tuhan tanpa memikirkan resolusi yang sebetulkan kearah penyelesaian masalah ini. Pada masa yang sama, pemimpin besar Malaysia yang memegang amanah kepada bencana di kawasan pemerintahannya lebih rela mengambil peluang seumur hidup bermain golf dengan Presiden US, berbanding ke kawasannya.

Ini adalah tangan-tangan yang memegang amanah. 

Jika begini keadaannya, selama mana bumi ini mampu bertahan dek kerakusan manusia?


Maka, inilah masanya rakyat bersatu hati, ketepikan soal politik dan bantu mana yang perlu.

Sunday, December 21, 2014

Orang Melayu harus belajar tertawakan diri sendiri

“Sesebuah bangsa yang maju mesti mempunyai keupayaan untuk mentertawakan diri sendiri.” - Raja Ahmad Aminullah


Selepas lebih lima dekat Merdeka, perbincangan soal Melayu masih tidak lekang dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Betapa hebatnya dasar pecah dan perintah tinggalan British, sehinggakan kini masih memecahkan-mecahkan rakyat kepada beberapa bangsa walaupun hakikatnya tidak salah meletak satu label iaitu kita adalah rakyat Malaysia (Malaysian).

Namun, saya tidak rasa ini salah sesiapa, keadaan di Malaysian tidak boleh dibandingkan dengan Indonesia seperti yang pernah saya fikir dahulu. Batu asas (foundation) penubuhan kedua-kedua negara ini adalah berbeza sama sekali. 

Dalam beberapa dekad daripada sekarang, saya tidak rasa pecah-pecahan ini akan berubah. Malah, ada mungkin hal ini akan kekal hingga ke akhirnya.

Saya tidak pernah gusar tentang label ini. Sejak merdeka, label dan pecahan bangsa ini langsung tidak menimbulkan masalah. Malah, parti dan kesatuan pembangkang sejak dahulu pun menggunakan label  ini dan petah membincangkan isu-isu Melayu. Misalnya, PAS, PRM, KMM, PKMM dsb.

Saya juga tidak pernah gusar dengan pendirian fraksi-fraksi yang menganut fahaman ekstrim kanan (far right) sebagai teras utama. Tetapi, perkara yang menimbulkan resah adalah aksi golongan pelampau kanan baru-baru ini yang saya kira patut difikirkan kita semua.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, ketegangan itu adalah suatu perkara yang biasa. Malah, tidak ada mana-mana negara yang punyai rakyat berbilang bangsa mampu menjadikan rakyatnya benar-benar suci daripada sebarang perbalahan yang bermotifkan kaum. 

Malaysia, adalah sebuah negara di mana secara kebetulan majoriti dan pendudukan asalnya adalah Melayu. Maka, tidak hairanlah Melayu sering berasa kurang selamat (insecure) terutama sekali apabila melihat perkara-perkara yang dianggap sebagai suatu ancaman seperti monopoli dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dsb.

Cuma perkara yang saya kira harus tertawakan, adalah tindakan menakut-nakutkan Melayu yang dahulu pernah dimainkan lima puluh tahun dahulu, kini dimainkan semula oleh penggerak-penggerak ekstrim Melayu ini. Orang Melayu ditakut-takutkan dengan kehilangan sistem beraja, kehilangan status Islam sebagai bahasa kebangsaan, kehilangan kedudukan Bahasa Melayu dan kehilangan keistimewaan Melayu yang dinikmati selama ini.

Mungkin saya yang tidak faham atau kumpulan ini yang kurang faham saya tidak pasti, tetapi apa yang pasti pemimpin kita pada masa lampau sudah pun berfikir soal ini.

Oleh itu, perlembagaan kita yang menjadi norma asas (grundnorm) dan tonggak kepada penubuhan negara merdeka ini telah diberi satu peruntukkan tentang pindaan atau pemansuhan nilai-nilai tradisi yang disebutkan tadi.

Jika tidak percaya, boleh rujuk perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, segala pindaan yang menyentuh isu-isu ini perlu mendapat sokongan 2/3 majoriti parlimen serta perkenan (consent) Majlis Raja-Raja Melayu. 

Secara logiknya, adalah suatu yang tidak berasas apabila MRRM boleh membiarkan sahaja perkara-perkara ini disentuh tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Sudah lupakah yang MRRM memang ditugaskan untuk menjaga hal-hal orang Melayu dan agama Islam?

Perkara ini sudah saya bawa dan tanyakan kepada ramai pihak sejak tahun 2011, tetapi masing-masing hanya diam dan menafikan perlindungan ini yang jelas wujud dalam perlembagaan.

Justeru, orang Melayu harus mula fikir dan tertawakan diri sendiri kerana pada waktu ini, kita asyik takut dengan bayang-bayang sendiri.

Apa yang penting bagi orang Melayu adalah memikirkan soal pembangunan masyarakat yang kini masih jauh tertinggal walaupun sudah lebih lima dekad menikmati kemerdekaan.

Saya menghormati usaha-usaha badan bukan kerajaan Melayu ini dalam menegakkan nilai-nilai tradisi penduduk asal, tetapi saya kira banyak lagi isu-isu yang boleh dibawa berbanding perkara yang sudah terang lagi bersuluh akan terpelihara selagi wujud entiti beraja dalam negara ini.

Daripada ditertawakan sendiri oleh orang Melayu, lebih elok sekiranya bicara soal-soal pendidikan, ekonomi, politik matang, supaya kelak Melayu akan dapat bangun dan bebas daripada sebarang ketakutan yang sebenarnya menghalang kemajuan kita selama ini.

Jika benar mahu main politik, eloklah sertai parti politik. Jangan kerana sibuk mahu dapat perhatian dan kepentingan politik, akhir nanti selamanya kumpulan-kumpulan ini ditertawakan oleh rakyat sendiri.

Friday, December 19, 2014

Mahasiswa dan sebenarnya #UM8

Politik mahasiswa, memang ada berbagai-bagai ragam. Seperti yang saya jangkakan sebelum ini, akhirnya UM8 membuat keputusan untuk membuat semakan kehakiman (Judicial Review) sekiranya permohonan rayuan yang dibuat tidak dilayan.

Fahmi Zainol telah dikenakan tindakan di bawah kaedah AUKU dan digantung dua semester serta denda RM600. Manakala, Safwan digantung selama satu semester, didenda RM300 dan amaran. Empat pemimpin pelajar lain masing-masing didenda RM150 dan diberi amaran. Seorang diberi amaran keras dan seorang lagi didapati tidak bersalah.

Sebelum ini memang sudah saya agak, keadaannya ini akan berlaku, Orang kata memang sudah dapat dijangka. Melihat kepada aksi gerakan mahasiswa sebelumnya, kes politik mahasiswa berprofil tinggi seperti ini pasti akan berakhir dengan tindakan seperti ini.

Dalam hal ini, saya juga harus berlaku adil. Saya tidak menyalahkan Naib Canselor sepenuhnya kerana beliau sendiri duduk di bawah arahan menteri dan menurut undang-undang yang telah ditetapkan. Seperti ulasan ringkas saya sebelum ini, soal keadilan sosial, kebebasan dan kewarasan itu adalah perkara pokok, tetapi apabila berbicara soal undang-undang, akhirnya kita akan faham ia penuh dengan isu-isu dan hal teknikal (technicality) yang kadang-kala merencatkan proses keadilan itu sendiri.

Hilman Idham, bekas pemimpin UKM dan teman-teman UKM4 dahulu juga melakukan semakan kehakiman, mereka berjaya dan akhirnya seksyen 15 AUKU terbatal kerana tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan, manakala Adam Adli, dalam semakan kehakiman terhadap pertuduhan ke atasnya gagal. Keputusan ini juga berlaku kerana hal teknikal.

Maka, Fahmi dan rakan-rakan jangan pula menangis. Ibu bapa mana pula yang tidak sedih. Tetapi, dalam hal seperti ini, sebagai pemimpin, jangan pula tunjuk sikap yang lemah. Apabila kita bercakap soal perjuangan dan mengambil keputusan untuk beraksi, soal-soal seperti ini sudah tidak wujud lagi. Malah, keputusan telah pun dibuat, maka tidak ada gunakan kesal dan bimbang. Inilah risiko jika mahu berjuang. Tidak mungkin Fahmi dan rakan-rakan tidak pernah terfikir sebelum ini.

Semakan kehakiman yang akan dilakukan ini saya kira adalah tindakan 'try and error'. Seperti saya katakan, Hilman dan UKM4 berjaya, tetapi Adam Adli gagal. Justeru, segala keputusan kelak harus diterima dengan tenang dan hati terbuka.

Dahulu, rata-rata pemimpin mahasiswa dan anak muda seperti Anwar Ibrahim (ABIM) , Ibrahim Ali (KSITM), Khairul Anwar Zainuddin (IKM), Fuad Ikhwan (UM), dan ramai lagi sudah pun pernah dijemput ke rumah tumpangan Kamunting. 

Inilah risiko perjuangan. Sebenarnya, naib canselor, penguasa dan menteri bukanlah tidak menghormati pemikiran, idealisme dan wawasan anak muda dan mahasiswa, tetapi masalahnya adalah mereka lebih menghormati kuasa daripada pemikiran, idealisme dan wawasan.

Ini namanya proses!

Friday, October 31, 2014

Universiti dan mahasiswa sudah mandul kah?





Seingat saya kali terakhir gerakan mahasiswa pasca UKM4 benar-benar datang dengan aksi adalah ketika Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS). Ketika itu saya masih bersama Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), sebagai Setiausaha Agung. Maka, aksi yang mengasyikkan ketika itu benar-benar membuatkan mahasiswa dan anak muda merasai "semangat zaman" (Zeitgeist). Itu kali terakhir benar-benar beraksi. Saya rasa lah!



Tetapi, empat hari lepas tiba-tiba Universiti Malaya gempar dengan kebanjiran anak muda dan mahasiswa dalam satu program pidato Anwar Ibrahim bertajuk 40 tahun dari Universiti Malaya ke penjara. 


Sejujurnya, ketika pertama kali program tersebut diumumkan, saya agak skeptik tentang partisipasi mahasiswa nanti. Bukan kerana figura, kerana kita sendiri tahu Anwar Ibrahim adalah figura besar. Bukan sosok Anwar yang ingin kita bincang di sini. Tidak kisah la sesiapa pun.

Tetapi, saya skeptik kerana melihat pergerakan mahasiswa semenjak dua menjak ini kerana ritmanya agak perlahan. Mungkin banyak faktor yang menyebabkan berlaku perkara ini. Tetapi, bukan tugas saya untuk mengulas.

Melihat crowd yang begitu ramai (tak kisah pelajar, anak muda dan mata-mata), saya kira ini adalah sesuatu yang agak baik terutama kepada gerakan mahasiswa yang agak perlahan aksinya hari ini.


Namun begitu, hari ini Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Saudara Fahmi Zainol telah menerima surat tindakan tatatertib daripada pihak universiti dengan sembilan pertuduhan dan perbicaraan disiplin dijadualkan akan berlangsung pada 7 November ini.

Pertuduhan-pertuduhan itu:



1. Menganjurkan satu perhimpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor.



2. Memanggil satu himpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor.


3. Menghadiri satu perhimpunan yang tidak dibenarkan universiti.

4. Menjalankan urusan yang "merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baiik universiti" di kampus.

5. Menjalankan urusan yang "merosakkan atau memudaratkan ketenteraman atau keselamatan awam, moral, kesopanan atau tatatertib" di kampus.

6. Melakukan perbuatan yang menyebabkan apa-apa halangan, kesulitan, kegusaran, kerugian atau kerosakan kepada mana-mana orang dalam universiti.


7. Memiliki alat pembesar suara atau alat-alat serupa tanpa kebenaran naib canselor.



8. Gagal mengikut arahan kakitangan atau pegawai universiti semasa perhimpunan.


9. Gagal mematuhi surat tunjuk sebab pada 23 Oktober.


Wow, ini surat tindakan tatatertib dari UM? Saya tidak hairan jika surat ini datang kepada mahasiswa UiTM kerana kita harus faham senario dan keadaan yang bagai langit dengan bumi. Tradisi gerakan mahasiswa dengan aksi di sana sudah lama mati. Cerita yang ada pun cuma sejarah, ketika zaman Ibrahim Ali menjadi Presiden KSITM dahulu. Tetapi, apabila surat ini datang dari universiti yang sferanya penuh dengan aksi mahasiswa, saya terpana.


Persoalan yang timbul dalam benak fikiran saya, adakah pertuduhan-pertuduhan di atas munasabah? Jika benar pun si Fahmi ini bersalah, mengapa wujud sehingga sembilan pertuduhan? 


Sebagai gedung ilmu dan antara universiti terulung di Malaysia, UM sepatutnya memainkan peranan dalam pembentukan mahasiswa. Mahasiswa harus diberi peluang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang tertentu seperti kepimpinan.


Mungkin UM terlupa tentang keputusan dalam kes Muhammad Hilman Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors [2011] 9 CLJ 55, Hakim Mahkamah Rayuan, Low Hop Bing JCA dalam membuat keputusannya menyebut :


" In my opinion such a provision as s. 15(5)(a) of the UUCA impedes the healthy development of the critical mind and original thoughts of students – objectives that seats of higher learning should strive to achieve. Universities should be the breeding ground of reformers and thinkers, and not institutions to produce students trained as robots. Clearly the provision is not only counter-productive but repressive in nature."


Maka, jelas di sini bahawa universiti tidak sepatutnya menjadi sarang menghasilkan robot. Tetapi ia patut melahirkan pemikir, pemimpin yang mampu mendepani zaman pada masa akan datang.


Dalam mengulas isu ini, saya tidak fikir pemimpin universiti yang ada pada hari ini tidak pernah terlibat dalam aktiviti pembangunan mahasiswa. Lihat saja figura-figura besar termasuk ahli akademik, ahli politik, ahli korporat dan dll masing-masing memainkan peranan dalam universiti masing-masing tidak kira apa pandangan sekalipun.


Dalam kes Sweezy v. New Hampshire 354 U. S. 234 (1957), Hakim Mahkamah Agung US, Chief Justice Warren Burger menyebut bahawa :


"Scholarship cannot flourish in an atmosphere of suspicion and distrust. Teachers and students must always remain free to inquire, to study and to evaluate, to gain new maturity and understanding; otherwise our civilization will stagnate and die."

Walaupun kes ini tidak mengikat (binding), tetapi ia mempunyai pengaruh yang tinggi (persuasive authority) dalam membincangkan isu ini. Saya kira pihak universiti harus sentiasa bebas dalam memberi peluang kepada mahasiswa dalam mempelajari sesuatu.


Mungkin tindakan mahasiswa ada juga silapnya, tetapi saya berpendirian bahawa kesilapan itu sepatutnya ditegur dengan baik demi kemaslahatan mahasiswa pada masa akan datang. Andai mahu keluar pertuduhan sekalipun, biarlah munasabah.


Keadilan harus diberi kepada semua mahasiswa. Tidak kira mahasiswa tersebut berada dalam parti politik kanan, parti politik kiri atau gerakan rakyat sekalipun, keadilan harus diberikan kepada semua. Kita harus buka ruang untuk mahasiswa.


Jangan sampai nanti universiti kita hanya menghasilkan robot yang tidak mampu berfikir dan akhirnya kita ketandusan golongan yang mampu memimpin negara ini. Maka, persoalan yang kini harus dijawab, universiti dan mahasiswa sudah mandul kah?













Tuesday, October 1, 2013

Chin Peng dengan labu - labunya



Jangan salah faham, ini adalah tulisan peribadi sebagai ekspresi dan tidak ada kena mengena dengan pembawakan atau penganut mana - mana ideologi politik.

Hari Malaysia ; Chin Peng telah mati dan rakyat terpecah kepada tiga.

Pertama, rakyat yang marah kepada Chin Peng dan menganggap bahawa kematiannya pada hari Malaysia adalah simbol daulat dan rahmat kepada bumi Malaysia. Kedua, golongan yang menghargai perjuangan kemerdekaan yang dibawa Chin Peng walaupun bergerak secara gerila dan bersenjata. Ketiga, golongan yang mempergunakan Chin Peng sebagai isu menaikkan pengaruh, simpati atau kebencian politik.

Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk golongan pertama dan kedua kerana tindakan dan sikap mereka mungkin adalah kesan daripada kesah dan pengalaman yang pernah mereka lalui sendiri. Mungkin ada ahli keluarga yang mati dibunoh dan ada juga yang kaum kerabat bersama berjuang dalam gerakan kiri seterusnya dihumban ke dalam penjara.

Tetapi, yang menjadi permasalahan adalah golongan ketiga apabila ada yang menggunakan isu Chin Peng sebagai "political mileage" yang saya kira tidak sesuai pada masanya. Waima sehingga sekarang, terdapat politikus dan bekas politikus yang maseh memekak dek isu Chin Peng.

Walau apa pun pandangan rakyat terhadap Chin Peng, sejarah tidak akan terpadam. Chin Peng dan labu - labunya turut sama berjuang untuk kemerdekaan dan mereka juga turut membunoh rakyat ketika itu. Ya, memang benar dan ia juga sama seperti mana pihak British membodoh - bodohkan Raja dan Orang - Orang Melayu seperti yang dicatat dalam sejarah.

Tetapi, sejauh mana kesanggupan "politikus" ini dalam menyatakan kebenaran? Atau drama ini adalah rentetan daripada dendam politik lama ataupun bertujuan memanipulasi rakyat semata?



Sejarah di Malaysia sudah banyak tempang.

Tuesday, August 13, 2013

Surau di Johore jadi tokong?

Tempoh hari kecoh apabila tersebar video di laman sosial bahawa sebuah surau yang terletak di Sutera Resort, Johore dijadikan tempat meditasi dan sembahyang sekumpulan rombongan pertubuhan agama Buddha dari Singapura.

cina-buddha

Insiden ini berlaku apabila rombongan itu diberi kebenaran untuk menggunakan surau resort apabila dewan penuh untuk dijadikan tempat mereka sembahyang. Menurut pemilik resort, Syed Ahmad Alkaff, mereka sering menerima kunjungan pertubuhan agama.

Memandangkan hari itu dewan penuh, mereka memberikan kebenaran rombongan itu untuk menggunakan surau. Tetapi untuk tujuan meditasi sahaja.

Pemilik kemudian mendakwa bahawa rombongan itu secara sorok-sorok membawa alatan masuk dan ini menimbulkan ketegangan apabila ramai membuat aduan. Pemilik akhirnya mengarahkan segala alat dikeluarkan dan upacara dihentikan.

Saya melihat perkara ini sebagai suatu tindakan yang tak sepatutnya berlaku. Dalam isu ini, kemungkinan pendidikan adalah pokok utama untuk kita faham.

Di Kanada, negara itu telah terbentuk ratusan tahun dan asasnya negara ini diduduki oleh masyarakat Eropah yang budayanya hampir sama. Tetapi, kerana berlainan bahasa ; sekumpulan berbahasa inggeris dan sekumpulan berbahasa Perancis. Mereka sering bergaduh.

Di Malaysia, kita punya jamak budaya, agama, bahasa dan warna kulit yang mempunya latar sejarah berbeza. Maka, perkara yang agak sensitif itu pula pasti banyak dan memperlihatkan kepada latar sejarah serta garis masa penduduk di sini. Agak sukar bagi kita "merevolusikan" pemikiran seluruhnya.

Kewujudan pelbagai agama, bangsa, warna kulit dan segala bentuk rupa adalah amanah daripada Tuhan.

Saya melihat dalam hal ini tidaklah menjadi tugas kita menyalahkan sesiapa, tetapi sudah sampai masa kita menggunakan kebijaksaan dan aqal fikiran bagi menyelesaikan dan mengecilkan ruang-ruang lingkup ini demi meraikan sebuah masyarakat yang bersatu - padu.

Pokoknya adalah ; respect each other.

InsyaALLAH masalah akan berkurangan.


KHAIRUL NAIM RAFIDI
13 OGOS 2013