Saturday, July 27, 2013

SEJARAH ILMU PANGGIL PONTIANAK DAN R.O WINSTEDT

Nak berkongsi satu cerita.

Cerita buat semua yang rajin baca blog ini pasal aku pun jarang update. Dalam minggu ni aku banyak buat sedikit kajian tentang sejarah-sejarah lama. Mungkin kalau ada masa aku akan cuba kongsikan apa yang sudah aku baca.

Jadi, kita mula dengan perkongsian ringan. Pasal Ilmu Panggil Pontianak.

Kau orang pernah dengar tak nama Richard Olaf Winstedt? Kalau maseh ingat dalam buku sejarah dia sebut sebagai R.O Winstedt. Dia adalah seorang orientalis Inggeris dan Pegawai British yang ditugaskan di Malaya ketika zaman penjajah.

Winstedt begitu mahir dan sensitif terhadap bahasa, budaya dan adat orang-orang Melayu. Dia begitu mahir sehingga dapat memahami Sejarah Melayu serta menghasilkan banyak buku-buku yang menerangkan tentang Malaya ketika zaman ini.



Ketika diarah bertugas ke Negeri-Negeris Melayu Bersekutu (FMS), Winstedt mempunyai satu tabiat buruk. Dia tidak bekerja sebaliknya menyelongkar Istana Melayu dan menelaah manuskrip dan kitab-kitab lama.

Dalam tahun 1909, dia telah menulis satu unpublished journal by Asiatic Society berkenaan dengan ILMU MEMANGGIL PONTIANAK.

Dikatakan ilmu itu datang dari catatan Dato' Amarabangsa Wijaya dari Temenggor yang begitu hebat ketika zaman itu





Ini nak panggil, nak suruh balik taktau la pulak. Kah Kah Kah!

Saturday, July 20, 2013

Projek #CatatanKuantan

                                        




Bila aku buka laman facebook ataupun twitter, selalu aku lihat teman-teman yang dahulu bersama di UiTM Kampus Kuantan tidak kira Asasi Undang-Undang atau TESL merintih kerana rindukan Kuantan.

Tambahan bila hampir kepada Ramadhan, lagi bertambah status dan tweet melabon rindu dan merintih akan Kuantan.

Jadi, aku terfikir apa solusi bagi kesah-kesah dan cerita korang ni. Daripada kita duduk diam, elok kita lakukan sesuatu. Maka, aku teringat projek yang pernah aku sebutkan dulu ; Projek #CatatanKuantan

Asasnya, projek #CatatanKuantan ini adalah hasil pemikiran dan idea beberapa rakan kita untuk rakamkan dan pahatkan kenangan kita (Alumni UiTM Kuantan) ke dalam satu buku.

Ia adalah projek bagi mengumpul cebisan kenangan 

Mulanya cadangan adalah dalam bentuk buku, tapi memikirkan kos dan faktor lain, kita bercadang untuk buat dalam bentuk ebook. Maka, nanti akan terhasil e-zine.

Projek #CatatanKuantan ini adalah untuk , 

(a) menyediakan aktiviti kepada alumni UiTM Kuantan Undand-Undang dan TESL sesi 2011/2012, 

(b) memberi platform pada bekas mahasiswa mencatat pengalaman dan kenangan lalu di kampus bagi 
dikongsi dengan generasi akan datang,

 (c) mengubat kerinduan mahasiswa terhadap Kuantan, 

(d) Menyatukan semula seluruh mahasiswa UiTM Kuantan yang kini berlainan fakulti, 

(e) Sebagai langkah awal ke arah penubuhan Alumni UiTM Kuantan, Pahang


Buat permulaan, projek ni adalah untuk batch 2011/2012 sahaja. Andai kata batch lain nak sertai kita masih buka untuk perbincangan tetapi harus sertakan sukarelawan.

Sekarang, kita perlukan sukarelawan untuk projek #CatatanKuantan ni. Kita perlu editor, designer, promoter dan banyak lagi. Harap kalian dapat sumbang sesuatu. Sebarang urusan boleh pm, tweet atau sms sahaja nombor ni.


Pada yang nak sumbang dah boleh mula tulis dan siapkan draf atau kumpulkan gambar-gambar yang kalian suka.

Sumbangan memori dan kenangan tiada tapisan.

TEMA : Masih Ingatkah peristiwa semalam?

PERHATIAN : 

Penyumbang bebas untuk mencoret dalam apa jua bentuk ; tulisan, puisi, esei, gambar dan catatan, lukisan, dsb. Sumbangan hendaklah dihantar pada email alumniuitmkuantan@gmail.com sebelum 31 Ogos 2013. Sebarang pindaan akan dimaklumkan.

Sebarkan dan selamat maju jaya!

___________________________________________________________________________

Ada beberapa persoalan malam semalam. Ramai yang bertanya. Meh aku jelaskan semula.

1. Macam mana nak hantar "kenangan" tu?

Pertama, korang boleh la menulis dalam bentuk esei, pusi, sajak, cerpen atau apa sahaja yang nak dikongsikan dan dihantar pada email alumniutimkuantan@gmail.com

Kedua, korang boleh beri apa2 gambar kenangan bersama caption yang korang nak dengan hashtag #CatatanKuantan di laman fb atau twitter.

Ketiga, kalau dasar pemalas sangat nak menulis korang boleh hantar kenangan di ruangan conteng - conteng twitter, tulis " ... " dan hashtag saja #CatatanKuantan. Kami akan kutip semua don't worry.

2. Ada sebarang tapisan ke?

Setakat perbincangan akhir bersama volunteer memang takkan ada tapisan. Bagi kebebasan pada korang nak ekspresi apa sahaja sebab matlamat kita nak kongsi kenangan. Yela, cerita lama kan.

Segala bentuk ekspresi termasuk lukisan kami terima.

Tapi macam typo, itu semua editor akan usik la.

3. Senior atau junior selain batch 11/12 boleh join tak?

Kalau ikutkan this non profit project memang buat untuk batch 11/12 sahaja. Tapi kalau betul ada mana-mana batch lain nak sertai boleh.

Tapi, wajib untuk bentuk adhoc sukarelawan dan merger. Kita kerja sama-sama.

4. Boleh tak kalau nak jadi volunteer?

Boleh, contact saja sukarelawan yang ada. Paling mudah contact aku sendiri. Boleh whatsapp aku 0172028681 atau sms 0132041667

5. Macam mana bentuk e-zine ni nanti?

Sebenarnya dulu plan nak buat dalam buku, tapi memikirkan kos dan kesempitan wang kami buat keputusan compile dan kumpul dalam bentuk pdf. Jadi, keluarlah istilah e-zine.

Kalau ada soalan lagi, bagitahu. Aku jawab. Thanks korang!


KHAIRUL NAIM RAFIDI

Friday, July 19, 2013

KADIR MABUK

KADIR MABUK


Ketika saya kecil dahulu saya masih ingat ada seorang lelaki bernama Kadir yang tinggal di sekitar kawasan rumah tempat saya tinggal. Kadir boleh dianggap sebagai lelaki yang sudah berumur tetapi masih ditanggung oleh ibunya kerana dia mempunyai satu sikap iaitu suka mabuk.


Disebabkan sikapnya itu, dia selalu sahaja pening lalat dan “melayan” mabuknya dengan menyanyi-nyanyi serta kadang-kala mengganggu budak kecil. Saya dan kawan selalu memerhati  Kadir sedang “melayan” perasaan dengan menyanyi ketika bermain di padang.


Pada hari ini, parlimen kita juga menghadapi masalah yang sama seperti yang dihadapi oleh Kadir. Hari ini parlimen seolah sering pening-pening lalat apabila selalu sahaja percakapan dan keputusan yang diadakan tidak sejajar dengan apa yang sepatutnya dilakukan.


Contohnya, apabila seorang pak menteri mencanangkan supaya dipertahankan habis-habisan Akta Hasutan. Bosnya hanya berdiam diri atas janji sebelum ini. Tetapi, selepas berlaku peristiwa Bah Kut Teh, maka bos kepada pak menteri tersebut secara tiba-tiba melabon bahawa dalam akta baru nanti akan ada peruntukan untuk kes seperti ini. Mana satu yang kita nak pakai?


Selain itu, beberapa isu seperti harga ayam contohnya dilihat sebagai suatu yang serius apabila pak menteri menyarankan supaya rakyat mengubah cara hidup atas kenaikan tersebut. Adakah isi yang diperkatakan oleh pak menteri ini boleh kita samakan dengan keadaan Kadir yang suka “melayan” perasaan itu?


Parlimen kita sudah pening. Konsep “collective ministerial responsibility”  juga saya rasa dilihat keliru oleh sesetengah ahli parlimen. Benar bahawa apabila bercakap mungkin akan wujud “engagement” dan perbedaan dalam berpendapat. Tetapi, perbezaan hari ini tidaklah bersifat “substances” atau berisi sekaligus memberikan faedah kepada isu tetapi lebih kepada permainan dan percaturan politik.

Orang politik sudah pening, parlimen pun sudah pening.

Selain itu, ada juga ahli parlimen yang sangat petah berpidato ketika sebelum PRU tiba-tiba sahaja jadi sepi apabila berada di dalam ruang parlimen. Suara dan harapan rakyat yang mengundi seolah dilupakan atau terlupa dek kerana “melayan” perasaan seperti Kadir tadi. Mungkin?


Mungkin juga ada ahli politik ini yang masih “melayan” perasaan syok mengenang impian lepas yang sudah menjadi kenyataan menjadi wakil rakyat? Mungkin.


Justeru, dalam menghadapi perubahan proses dari tahun ke tahun. Rakyat harus sedar bahawa keadaan kita sekarang jelas menunjukkan kita mempunya kebergantungan terhadap parti politik dan ahli politik itu sendiri.


Saya melihat dalam suatu kerangka bahawa sampai satu masa nanti rakyat boleh bergerak sendiri tanpa bantuan atau handikap daripada orang-orang seperti ini. Contohnya, di negara-negara Eropah sendiri kerja kebajikan atau komuniti dilaksanakan oleh rakyat tanpa menunggu belas daripada orang politik.


Banyak perkara sebenarnya boleh dilaksanakan sendiri tanpa mengharap atau menunggu ihsan ahli politik. Keadaan sekarang memberi isyarat bahawa sudah sampai masa rakyat sendiri bergerak secara bebas.


Walaupun terdapat beberapa rakan yang sinis terhadap pandangan saya ini dengan mengatakan bahawa saya tidak realistik, tetapi saya percaya lambat - laun atas tekanan keadaan menjadikan rakyat bergerak sendiri dan bunga-bunga gerakan itu sudah kelihatan.


Maka, elok sekiranya rakyat mula menyusun pergerakan sendiri untuk masa depan Malaysia yang lebih baik kerana menunggu ahli politik sedar dan bertindak kadang-kala sama juga seperti menunggu Kadir sedar daripada lamunannya.



KHAIRUL NAIM RAFIDI.

Friday, July 12, 2013

BEBALNYA SI AKADEMIA

Acapkali kita dengar bahawa kebodohan universiti hari ini segalanya berpunca dari United Malays National Organisation (UMNO). Mungkin alasan ini digunakan disebabkan beberapa faktor seperti kekangan perundangan  dan acuan yang dipaksakan ke atas kampus.

Namun, saya tertarik dengan kenyataan Dr. Maszlee berkenaan dengan isu ini apabila beliau mengemukakan dua faktor yang menjurus kepada pembebalan di kampus :

(a) budaya takut (culture of fear)
(b) budaya patron (culture of patronage)

Pertama sekali, kita tahu isu berbangkit apabila mengulas tentang faktor pertama adalah undang-undang seperti AUKU, Akta 174 dan Akta 555 sendiri yang mengekang aktiviti mahasiswa dan staf universiti. Justeru, budaya takut begitu menular sehingga takut menegur bagi yang batil seterusnya fungsi universiti dan mahasiswa sendiri sebagai tonggak dan asas kepada budaya demokrasi gagal.

Keduanya, budaya patron apabila kita terlalu ikut kepada 'tuan-tuan politik'. Hari ini naib canselor dipilih oleh orang politik. Ini jelas tercatat dalam undang-undang seperti AUKU sendiri apabila Pak Menteri diberi kuasa untuk memilih siapa yang mereka suka. Maka, sudah pastilah pemilihan akan terpalit kepada mereka yang dapat mengekalkan status quo kepada universiti tersebut dan selaras dengan kehendak pemerintah

Sebagai contoh, baru-baru ini ada seorang naib canselor universiti membuat deklarasi bahawa universiti yang dipimpinnya adalah penyokong UMNO/BN. Apa jenis ahli akademik begini?

Berdasar hujah di atas, kita tahu faktor luaran dan dalaman menjadi penekan dan katalis kepada budaya universiti yang mandom pada hari ini.

Namun begitu, Dr. Aziz Bari juga punyai pandang sendiri bila mana beliau mengatakan bahawa UMNO dan pemerintah tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Ini jelas apabila ahli akademik sendiri yang malas. Kita sedia maklum pada hari ini terdapat ahli akademik yang gelarannya panjang berjela-jela sehingga tidak muat kertas, tetapi hanya 'recycle' note dan paling mengejutkan tidak pernah menghasilkan sebarang buku akademik. Jika ada sekalipun buku ala motivasi yang bertujuan mengampu


ANTARA REALITI AKTA HASUTAN 1948 DAN REALISTIK PELAKSANAANNYA



Albert Camus menyebut “freedom is nothing but a chance to be better.” Aktor politik kecoh lagi apabila masing-masing bertelagah berkenaan dengan undang-undang lama, Akta Hasutan 1948.

Sebelum ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengemukakan kenyataan bahawa undang-undang ini akan dimansuhkan dan diganti dengan undang-undang baru iaitu Akta Keharmonian Nasional, namun begitu beliau gagal berbuat demikian apabila diminta oleh ahli politik Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat mengemukakan hujah bahawa Najib harus melaksanakan janji transformasi bagi memansuhkan undang-undang usang untuk menjamin kebebasan hak asasi. Mereka dengan keras mendesak Najib supaya jangan curang terhadap rakyat.

Sementara itu, ahli politik Barisan Nasional dan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi begitu lantang mempertahankan akta ini dengan hujah bahawa empat perkara sensitif seperti agama Islam, kedudukan istimewa Melayu, kedudukan Raja Melayu dan Bahasa Melayu akan terjejas kerana boleh dipertikaikan.
Malangnya, isu diatas saya anggap sebagai wayang politik.

 Maka tidak perlu untuk kita bincang atau bahaskan. Pembaca sendiri dapat menilai.

Pokoknya, isu Akta Hasutan ini yang harus dibincangkan.

SEJARAH

Akta ini sebenarnya dilahirkan di England sekitar 1351 dan terkandung dalam “Statute of Treason”. Akta ini kemudiannya dikenali secara rasmi sebagai Sedition Act 1661 dan ianya bertujuan pada mulanya untuk menyekat mana-mana pihak dari mengembalikan agama Kristian Roman Katolik kepada takhta England.

Asasnya, selepas kekalahan Jepun Malayan Union(MU) yang hendak diperkenalkan British mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu. Maka, atas dasar itu lahir satu badan yang sehingga hari ini dinamakan United Malays National Organization (UMNO).

Badan ini mulanya ditubuhkan untuk menyambut isu MU. Maka, British telah memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya). Ia mendapat sokongan majoriti orang Melayu yang kebanyakan datang dari ahli-ahli UMNO.

Walau bagaimanapun, pembentukan PTM masih tidak dipersetujui oleh golongan Melayu kiri dan radikal. Kesannya, Akta Hasutan mula dibawa masuk ke Tanah Melayu sebagai Ordinan no. 14 bagi menyekat penentangan rakyat terhadap kerajaan British dan pembentukan PTM.

Sebagai contoh, sejarah telah menunjukkan bagaimana Angkatan Pemuda Insaf (API) diharamkan oleh British disamping pemimpinnya Ahmad Boestamam yang dipenjarakan selama 7 tahun tanpa diberikan perbicaraan.
Kini, Akta Hasutan 1661 (England) sudah dimansukan dan tidak lagi diguna pakai dalam undang-undang British tetapi sesetengan peruntukan (Provisions) dalam akta tersebut masih digunakan dalam “Treason Act” (Akta Khianat)

Di Malaysia, selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969 pindaan terhadap undang-undang ini telah dilaksanakan bila mana perkara-perkara sensitif seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak seperti Islam(perkara 3), kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera (perkara 153), kedudukan Bahasa Melayu(perkara 152) dan kedudukan Raja-Raja Melayu(perkara 181).

AKTA HASUTAN 1948 MALAYSIA

Undang-undang ini mempunyai 11 peruntukan (provisions) dan saya berpandangan seksyen 3 adalah kandungan yang terpenting. Secara asasnya, seseorang ini boleh didakwa di bawah Akta Hasutan apabila mempunyai “kecenderungan mengasutan” atau “seditious tendency”.


Menurut seksyen 3 , kecenderungan menghasut ialah kecenderungan;

(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.
 (b) bagi membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa cara selain cara yang sah.
 (c) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau mana-mana negeri. 
(d) Bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat yang dipertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana negeri dalam kalangan pendudukan Malaysia atau rakyat mana-mana negeri. 
(e) bagi mengembangkan perasaan niat jahat untuk mencetuskan pergaduhan antara kaum. 
(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf atau kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan dilidungi oleh peruntukan bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.


MANSUH ATAU PINDA?


Saya melihat perkara ini dalam kerangka yang lebih besar. Sama ada ingin mansuh atau pinda ia akhirnya jatuh kepada kuasa orang politik di parlimen. Kedua-duanya boleh dilaksanakan dan ada baik dan buruknya.

Tetapi, jika difikirkan semula apabila kita menelaah kembali perkara dan kejadian lepas. Sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional, saya berpandangan bahawa “substance” atau kandungannya nanti tidak akan berubah secara drastik apabila perkara-perkara pokok masih dikekalkan.
Contohnya, seperti ISA diganti dengan SOSMA. Ia cuma lebih baik kerana pesalah dibicarakan.

 Tetapi, kenyataan SUHAKAM baru-baru ini jelas ia masih melanggar hak asasi dan syarat undang-undang keselamatan yang ditetapkan.

Namun begitu, saya tidak mampu mengulas lanjut kerana ada kemungkinan undang-undang tersebut akan menjadi lebih baik. Tapi malangnya ia masih belum dibentangkan.

Terdapat pihak yang berpandangan bahawa Akta Hasutan ini melanggar hak asasi serta tidak sah. Hakikatnya akta hasutan ini adalah undang-undang yang sah apabila peruntukan disediakan dalam perkara 10(2)(a) dan perkara 10(4).

Jika dilihat dengan teliti, masalah terbesar dalam akta ini adalah penggunaan istilah “hasutan” yang begitu luas. 

Secara teknikal, ia adalah subjektif dan boleh ditafsir menurut apa jua cara. Tambahan pula, kata seperti “kebencian”, “penghinaan”, “perasaan tidak puas hati” dan “niat jahat” juga mempunyai tafsiran yang longgar.

Seseorang itu mungkin boleh dikatakan menghina apabila mengkritik tetapi mengkritik pula tidak semestinya menghina. Ironinya, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, proses timbang dan periksa (check and balance) amatlah penting bagi mewujudkan kestabilan dalam pemerintahan.


Justeru, jika tidak dapat dimansuhkan sekalipun, cadangan ini adalah alternatif dan hal seperti ini harus diperketatkan apabila maksud setiap perkara dikemukakan dengan lebih jelas sebagai panduan dalam melaksanakan akta ini. Prosedur penangkapan juga harus dikaji semula dan ia tidak harus digunakan mengikut selera golongan berkepentingan.

Berkemungkinan jika akta ini ingin dipinda , perkara – perkara ini harus dilihat dan difokuskan supaya lebih jelas. Ini penting bagi mengelak berlakunya tangkapan-tangkapan yang menjurus kepada “mala fide” atau niat jahat bagi tujuan politik.

Selain itu, masalah lain yang timbul dalam implementasi akta ini adalah “selective prosecution” atau dalam bahasa lebih mudah difahami adalah “pilih bulu”. Menurut kes-kes yang lepas, kebiasaannya pandangan politik yang membangkang atau ke kiri sahaja yang ditangkap.

Contohnya, aktivis mahasiswa Adam Adli telah ditangkap kerana menyeru rakyat turun ke jalan raya bagi melawan keputusan pilihan raya.

Tetapi, adakah wujud siasatan dan tangkapan terhadap kenyataan Ibrahim Ali daripada PERKASA yang menghasut supaya membakar bible?

Sekali lagi, pentafsiran baru harus dilaksanakan. Mungkin jika tidak boleh dimansuhkan sekalipun undang-undang ini harus dikaji oleh sebuah suruhanjaya bebas. 

Badan bukan kerajaan (NGO) juga harus membuat pemantauan lebih kerap dan keras ketika akta ini diimplementasi nanti.


APAKAH KAITAN PENDIDIKAN DAN AKTA HASUTAN?

Menurut akta ini, isu sensitif seperti kedudukan Melayu, Raja Melayu, Islam dan Bahasa Melayu tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak.

Sebagai contoh dalam kes Public Prosecutor v Ooi Kee Saik and Ors (1971), defendan telah didakwa kerana menyentuh hal – hal istimewa orang Melayu.

Seperti kita tahu tujuan pendidikan di Malaysia telah diterangkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan antara perkara terpenting adalah bagi tujuan menyatukan semua kaum dalam negara ini.

Justeru, adakah matlamat kita tercapai? Adakah semua kaum dalam negara ini memahami sistem yang kita amalkan pada hari ini? Adakah semua memahami konsep undang-undang dan kaitannya dengan latar sejarah negara ini?

Secara peribadi, saya menganggap bahawa rakyat kita sudah mulai cerdik tetapi dalam usaha untuk kita mengembalikan demokrasi tulen dalam negara ini wajar disertakan dengan pembangunan dan pembaikan sistem pendidikan yang benar-benar membentuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, tidak mustahil nanti undang-undang ini langsung tidak diperlukan lagi kerana masyarakat sudah faham dan tahu nilai hormat-menghormati antara satu sama lain.

KESIMPULAN

Akhir sekali, mansuh atau pinda adalah pilihan dan kedua-duanya mempunyai impak yang berbeza. Tetapi, apa yang harus ditekankan di sini adalah undang-undang tua ini masih boleh diguna pakai sekiranya keadaan tidak membenarkan ia dimansuhkan.

Seluruh pemimpin di dewan parlimen harus bertolak-ansur dan meletakkan kepentingan rakyat lebih dari segalanya dalam isu-isu seperti ini. Diharapkan tindakan akan dibuat menurut kehendak semasa dan bukanlah bagi tujuan kepentingan politik sahaja demi Malaysia yang lebih baik.

Tulisan ini diterbitkan di laman The Malaysian Insider dan prisma.com.my

Tuesday, July 9, 2013

Ramadhan

Tahun ini memperlihatkan pelbagai kejadian. Ada yang aneh, ada yang menyenangkan, ada yang duka. Pendek kata, sekiranya segala plot digarap dan dirangkup, memang cukup rasa.Tambahan pula, tahun ini diadakan pilihan raya ke - 13 yang menjadi 'the most critical election' dalam sejarah Malaysia.

Catatan ini ditulis menjelang maghrib 9 Julai 2013, esok adalah 1 Ramadhan.

Cuti kali ini kemungkinan masa akan dihabiskan untuk membaca dan menulis. Nantikan artikel nanti.

Salam Ramadhan aku ucapkan buat semua.

Harap ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. InsyaALLAH.

KHAIRUL NAIM RAFIDI,
9 JULAI 2013,
PORT KLANG.