Friday, July 19, 2013

KADIR MABUK

KADIR MABUK


Ketika saya kecil dahulu saya masih ingat ada seorang lelaki bernama Kadir yang tinggal di sekitar kawasan rumah tempat saya tinggal. Kadir boleh dianggap sebagai lelaki yang sudah berumur tetapi masih ditanggung oleh ibunya kerana dia mempunyai satu sikap iaitu suka mabuk.


Disebabkan sikapnya itu, dia selalu sahaja pening lalat dan “melayan” mabuknya dengan menyanyi-nyanyi serta kadang-kala mengganggu budak kecil. Saya dan kawan selalu memerhati  Kadir sedang “melayan” perasaan dengan menyanyi ketika bermain di padang.


Pada hari ini, parlimen kita juga menghadapi masalah yang sama seperti yang dihadapi oleh Kadir. Hari ini parlimen seolah sering pening-pening lalat apabila selalu sahaja percakapan dan keputusan yang diadakan tidak sejajar dengan apa yang sepatutnya dilakukan.


Contohnya, apabila seorang pak menteri mencanangkan supaya dipertahankan habis-habisan Akta Hasutan. Bosnya hanya berdiam diri atas janji sebelum ini. Tetapi, selepas berlaku peristiwa Bah Kut Teh, maka bos kepada pak menteri tersebut secara tiba-tiba melabon bahawa dalam akta baru nanti akan ada peruntukan untuk kes seperti ini. Mana satu yang kita nak pakai?


Selain itu, beberapa isu seperti harga ayam contohnya dilihat sebagai suatu yang serius apabila pak menteri menyarankan supaya rakyat mengubah cara hidup atas kenaikan tersebut. Adakah isi yang diperkatakan oleh pak menteri ini boleh kita samakan dengan keadaan Kadir yang suka “melayan” perasaan itu?


Parlimen kita sudah pening. Konsep “collective ministerial responsibility”  juga saya rasa dilihat keliru oleh sesetengah ahli parlimen. Benar bahawa apabila bercakap mungkin akan wujud “engagement” dan perbedaan dalam berpendapat. Tetapi, perbezaan hari ini tidaklah bersifat “substances” atau berisi sekaligus memberikan faedah kepada isu tetapi lebih kepada permainan dan percaturan politik.

Orang politik sudah pening, parlimen pun sudah pening.

Selain itu, ada juga ahli parlimen yang sangat petah berpidato ketika sebelum PRU tiba-tiba sahaja jadi sepi apabila berada di dalam ruang parlimen. Suara dan harapan rakyat yang mengundi seolah dilupakan atau terlupa dek kerana “melayan” perasaan seperti Kadir tadi. Mungkin?


Mungkin juga ada ahli politik ini yang masih “melayan” perasaan syok mengenang impian lepas yang sudah menjadi kenyataan menjadi wakil rakyat? Mungkin.


Justeru, dalam menghadapi perubahan proses dari tahun ke tahun. Rakyat harus sedar bahawa keadaan kita sekarang jelas menunjukkan kita mempunya kebergantungan terhadap parti politik dan ahli politik itu sendiri.


Saya melihat dalam suatu kerangka bahawa sampai satu masa nanti rakyat boleh bergerak sendiri tanpa bantuan atau handikap daripada orang-orang seperti ini. Contohnya, di negara-negara Eropah sendiri kerja kebajikan atau komuniti dilaksanakan oleh rakyat tanpa menunggu belas daripada orang politik.


Banyak perkara sebenarnya boleh dilaksanakan sendiri tanpa mengharap atau menunggu ihsan ahli politik. Keadaan sekarang memberi isyarat bahawa sudah sampai masa rakyat sendiri bergerak secara bebas.


Walaupun terdapat beberapa rakan yang sinis terhadap pandangan saya ini dengan mengatakan bahawa saya tidak realistik, tetapi saya percaya lambat - laun atas tekanan keadaan menjadikan rakyat bergerak sendiri dan bunga-bunga gerakan itu sudah kelihatan.


Maka, elok sekiranya rakyat mula menyusun pergerakan sendiri untuk masa depan Malaysia yang lebih baik kerana menunggu ahli politik sedar dan bertindak kadang-kala sama juga seperti menunggu Kadir sedar daripada lamunannya.



KHAIRUL NAIM RAFIDI.

No comments:

Post a Comment