Showing posts with label barisan nasional. Show all posts
Showing posts with label barisan nasional. Show all posts

Friday, July 19, 2013

KADIR MABUK

KADIR MABUK


Ketika saya kecil dahulu saya masih ingat ada seorang lelaki bernama Kadir yang tinggal di sekitar kawasan rumah tempat saya tinggal. Kadir boleh dianggap sebagai lelaki yang sudah berumur tetapi masih ditanggung oleh ibunya kerana dia mempunyai satu sikap iaitu suka mabuk.


Disebabkan sikapnya itu, dia selalu sahaja pening lalat dan “melayan” mabuknya dengan menyanyi-nyanyi serta kadang-kala mengganggu budak kecil. Saya dan kawan selalu memerhati  Kadir sedang “melayan” perasaan dengan menyanyi ketika bermain di padang.


Pada hari ini, parlimen kita juga menghadapi masalah yang sama seperti yang dihadapi oleh Kadir. Hari ini parlimen seolah sering pening-pening lalat apabila selalu sahaja percakapan dan keputusan yang diadakan tidak sejajar dengan apa yang sepatutnya dilakukan.


Contohnya, apabila seorang pak menteri mencanangkan supaya dipertahankan habis-habisan Akta Hasutan. Bosnya hanya berdiam diri atas janji sebelum ini. Tetapi, selepas berlaku peristiwa Bah Kut Teh, maka bos kepada pak menteri tersebut secara tiba-tiba melabon bahawa dalam akta baru nanti akan ada peruntukan untuk kes seperti ini. Mana satu yang kita nak pakai?


Selain itu, beberapa isu seperti harga ayam contohnya dilihat sebagai suatu yang serius apabila pak menteri menyarankan supaya rakyat mengubah cara hidup atas kenaikan tersebut. Adakah isi yang diperkatakan oleh pak menteri ini boleh kita samakan dengan keadaan Kadir yang suka “melayan” perasaan itu?


Parlimen kita sudah pening. Konsep “collective ministerial responsibility”  juga saya rasa dilihat keliru oleh sesetengah ahli parlimen. Benar bahawa apabila bercakap mungkin akan wujud “engagement” dan perbedaan dalam berpendapat. Tetapi, perbezaan hari ini tidaklah bersifat “substances” atau berisi sekaligus memberikan faedah kepada isu tetapi lebih kepada permainan dan percaturan politik.

Orang politik sudah pening, parlimen pun sudah pening.

Selain itu, ada juga ahli parlimen yang sangat petah berpidato ketika sebelum PRU tiba-tiba sahaja jadi sepi apabila berada di dalam ruang parlimen. Suara dan harapan rakyat yang mengundi seolah dilupakan atau terlupa dek kerana “melayan” perasaan seperti Kadir tadi. Mungkin?


Mungkin juga ada ahli politik ini yang masih “melayan” perasaan syok mengenang impian lepas yang sudah menjadi kenyataan menjadi wakil rakyat? Mungkin.


Justeru, dalam menghadapi perubahan proses dari tahun ke tahun. Rakyat harus sedar bahawa keadaan kita sekarang jelas menunjukkan kita mempunya kebergantungan terhadap parti politik dan ahli politik itu sendiri.


Saya melihat dalam suatu kerangka bahawa sampai satu masa nanti rakyat boleh bergerak sendiri tanpa bantuan atau handikap daripada orang-orang seperti ini. Contohnya, di negara-negara Eropah sendiri kerja kebajikan atau komuniti dilaksanakan oleh rakyat tanpa menunggu belas daripada orang politik.


Banyak perkara sebenarnya boleh dilaksanakan sendiri tanpa mengharap atau menunggu ihsan ahli politik. Keadaan sekarang memberi isyarat bahawa sudah sampai masa rakyat sendiri bergerak secara bebas.


Walaupun terdapat beberapa rakan yang sinis terhadap pandangan saya ini dengan mengatakan bahawa saya tidak realistik, tetapi saya percaya lambat - laun atas tekanan keadaan menjadikan rakyat bergerak sendiri dan bunga-bunga gerakan itu sudah kelihatan.


Maka, elok sekiranya rakyat mula menyusun pergerakan sendiri untuk masa depan Malaysia yang lebih baik kerana menunggu ahli politik sedar dan bertindak kadang-kala sama juga seperti menunggu Kadir sedar daripada lamunannya.



KHAIRUL NAIM RAFIDI.

Tuesday, February 12, 2013

Mahasiswa dipukul samseng di Pekan dan asbabnya

Salah seorang aktivis mahasiswa telah dipukul ketika berkempen untuk melawan Najib Razak di kawasan Parlimen Pekan (P84). Pengerusi Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13), Syis Abdul Kadir mengesahkan bahawa individu tersebut adalah aktivis daripada Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI) dari Universiti Selangor.



Mereka mendakwa bahawa telah dipukul oleh sekumpulan samseng ketika sedang berkempen. Baru-baru ini, GM13 membuat keputusan untuk menghantar calon mahasiswa sebagai tanda protes kepada kepimpinan Najib Razak dalam Pilihan raya ke 13 nanti.

Mereka mendakwa bahawa dipukul oleh sekumpulan samseng yang cuba menghalang kempen mereka menolak Najib Razak. Besar kemungkinan samseng tersebut diupah oleh United Malays National Organization, dan jika bukan dari kalangan UMNO sekalipun, kejadian ini jelas menunjukkan bahawa Presiden UMNO, Najib Razak gagal mempertahankan kejadikan buruk berlaku di tempatnya.

Dalam menilai perkara ini, aku melihat bahawa wajar bagi kita menilai beberapa perkara dan asbab perkara ini terjadi. Besar kemungkinan mahasiswa ada melakukan provokasi atau perkara yang membuatkan "samseng" tersebut berasa terancam.

Sejarah jelas membuktikan bagaimana peredaran politik anak muda dan mahasiswa khususnya, bersikap "nakal" ketika berdemo dan berkempen. Jika pembaca rajin membaca tulisan-tulisan mahasiswa, dapat lihat bagaimana Ibrahim Ali, Hishamuddin Rais dan beberapa aktivis lain begitu "nakal" apabila berdepan dengan pihak penguasa. 

Ibrahim Ali yang juga Pemimpin Kesatuan Siswa-Siswi ITM juga pernah menggempur pihak FRU ketika ingin mengerahkan memorandum ke Parlimen bersama mahasiswa ITM ketika berjalan kaki di Lebuh raya Persekutuan.

Justeru, ada kemungkinan catatan sejarah ini boleh dijadikan sandaran dalam menilai perkara ini. Namun, ia masih belum jelas sehingga ia dijelaskan sendiri oleh kedua-dua belah pihak. Dalam hal ini, mahasiswa dinasihat supaya mengamalkan politik yang bijak dan mengelakkan diri daripada terjerumus dengan politik sentimen.

Memang benar sekiranya mahu mengapikan, membangkitkan dan menyebarkan kefahaman tentang sesuatu isu, kebiasaannya ia disusuli dengan tragedi supaya rakyat sekalian sedar. Namun, sebagai mahasiswa kita mampu berfikir dan banyak lagi metod yang boleh digunakan.

Kata orang , "Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang?"

KHAIRUL NAIM RAFIDI,
PORT SWETTENHAM, SELANGOR,
12 FEBRUARI 2013


Sunday, January 27, 2013

Politik Idea v Politik Sentimen

Teringat tentang idea pembawakan yang digemburkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah berkenaan dengan 'politik idea' mengatasi 'politik sentimen'.

Perkara yang ingin disampaikan di sini ialah berkenaan dengan keadaan politik pada hari ini yang lebih kepada retorik dan tidak realistik. Sebagai contoh, pihak UMNO/BN menakutkan orang Melayu bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang berkisar tentang keistimewaan Melayu akan terhakis, walhal perkara 159 menyediakan langkah-langkah dan prosedur khas sekiranya perkara "sensitif" ingin dipinda. Ini bermakna pindaan 153 memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja dan tidak boleh sesuka hati dilaksanakan oleh pimpinan legislatif dan eksekutif.

Inilah yang kita kata sebagai politik idea.



Namun begitu, apa yang dilihat pada hari ini tidak kira dari perwakilan kerajaan mahupun pembangkang. Implementasi politik lebih kepada 'politik sentimen' yang asyik ingin menyalahkan antara satu sama lain selain menggunakan metod sabotaj bagi menumbangkan pihak lawan politik.

Sebentar tadi berlaku satu kejadian dimana laman facebook Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli telah mengeluarkan kenyataan maaf kepada Menteri Pertahanan, Dato' Zahid Hamidi. Namun begitu, Rafizi menafikan dan mendakwa bahawa facebooknya digodam oleh "macai UMNO" dan beliau masih tetap dengan pendirian mahu menyaman Zahid Hamidi di mahkamah bagi penyalahgunaan dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Memperlihatkan kepada keadaan ini, saya teringat kata-kata seorang penulis dan pengkritik seni Hasmi Hashim bahawa "parlimen dan politik pada hari ini dilihat seperti zoo". Justeru, saya melihat bahawa politik pada hari ini seolah hanya memberikan "hiburan" dan menjadi "sarkas".

Saya menzahirkan pendapat sebegitu, namun dibantah oleh saudara Rafizi Ramli dalam laman twitternya dengan berkata :

Jgn terlalu senang buat komen2 sarkas, mari join politik jgn komen tepi RT @Khairulbrothers: @akhen69 Hiburan sebenarnya politik ni. Sarkas


Mungkin beliau TERTEKAN! Facebook digodam, kereta rosak. Mungkin! haha.


Diingatkan bahawa niat saya bukan untuk mengHIGHLIGHTkan kata-kata pemimpin politik di atas. Tetapi, ini sebagai contoh bagaimana politik di negara ini harus diberi nafas baru dan penekanan peranan golongan "kuasa ketiga" perlu diperkasa. Tidak semestinya dengan menyertai politik kepartian sahaja rakyat boleh mengkritik tindakan mana-mana pemimpin.

Selain itu, tindakan menggodam laman facebook dan seumpamanya adalah sesuatu yang tidak matang. Negara ini hakikat terlalu muda dan memerlukan masa yang lebih panjang lagi untuk dibaiki. Namun, ia terbantut dek "tangan-tangan" dalam parti kerajaan sekarang.

Akhir sekali,saya melihat bahawa kebanyakkan aktivis pada hari ini seolah menjadi "yes man" kepada pihak Pakatan Rakyat tetapi menjadi musuh yang tegar buat kerajaan UMNO/BN sahaja.


Andai kata ini berlarutan, apabila Pakatan Rakyat memerintah nanti, keadaan tidak akan berubah dan berkemungkinan "kerajaan zalim" akan tumbang dan naik satu "kerajaan diktator yang baru" kerana saya percaya bahawa UMNO/BN tidak akan menjadi pembangkang yang baik.


KEBENARAN ITU PASTI.



KHAIRUL NAIM BIN RAFIDI,


27 JANUARI 2013.

PELABUHAN KLANG, SELANGOR.