Friday, July 12, 2013

ANTARA REALITI AKTA HASUTAN 1948 DAN REALISTIK PELAKSANAANNYA



Albert Camus menyebut “freedom is nothing but a chance to be better.” Aktor politik kecoh lagi apabila masing-masing bertelagah berkenaan dengan undang-undang lama, Akta Hasutan 1948.

Sebelum ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengemukakan kenyataan bahawa undang-undang ini akan dimansuhkan dan diganti dengan undang-undang baru iaitu Akta Keharmonian Nasional, namun begitu beliau gagal berbuat demikian apabila diminta oleh ahli politik Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat mengemukakan hujah bahawa Najib harus melaksanakan janji transformasi bagi memansuhkan undang-undang usang untuk menjamin kebebasan hak asasi. Mereka dengan keras mendesak Najib supaya jangan curang terhadap rakyat.

Sementara itu, ahli politik Barisan Nasional dan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi begitu lantang mempertahankan akta ini dengan hujah bahawa empat perkara sensitif seperti agama Islam, kedudukan istimewa Melayu, kedudukan Raja Melayu dan Bahasa Melayu akan terjejas kerana boleh dipertikaikan.
Malangnya, isu diatas saya anggap sebagai wayang politik.

 Maka tidak perlu untuk kita bincang atau bahaskan. Pembaca sendiri dapat menilai.

Pokoknya, isu Akta Hasutan ini yang harus dibincangkan.

SEJARAH

Akta ini sebenarnya dilahirkan di England sekitar 1351 dan terkandung dalam “Statute of Treason”. Akta ini kemudiannya dikenali secara rasmi sebagai Sedition Act 1661 dan ianya bertujuan pada mulanya untuk menyekat mana-mana pihak dari mengembalikan agama Kristian Roman Katolik kepada takhta England.

Asasnya, selepas kekalahan Jepun Malayan Union(MU) yang hendak diperkenalkan British mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu. Maka, atas dasar itu lahir satu badan yang sehingga hari ini dinamakan United Malays National Organization (UMNO).

Badan ini mulanya ditubuhkan untuk menyambut isu MU. Maka, British telah memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya). Ia mendapat sokongan majoriti orang Melayu yang kebanyakan datang dari ahli-ahli UMNO.

Walau bagaimanapun, pembentukan PTM masih tidak dipersetujui oleh golongan Melayu kiri dan radikal. Kesannya, Akta Hasutan mula dibawa masuk ke Tanah Melayu sebagai Ordinan no. 14 bagi menyekat penentangan rakyat terhadap kerajaan British dan pembentukan PTM.

Sebagai contoh, sejarah telah menunjukkan bagaimana Angkatan Pemuda Insaf (API) diharamkan oleh British disamping pemimpinnya Ahmad Boestamam yang dipenjarakan selama 7 tahun tanpa diberikan perbicaraan.
Kini, Akta Hasutan 1661 (England) sudah dimansukan dan tidak lagi diguna pakai dalam undang-undang British tetapi sesetengan peruntukan (Provisions) dalam akta tersebut masih digunakan dalam “Treason Act” (Akta Khianat)

Di Malaysia, selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969 pindaan terhadap undang-undang ini telah dilaksanakan bila mana perkara-perkara sensitif seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak seperti Islam(perkara 3), kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera (perkara 153), kedudukan Bahasa Melayu(perkara 152) dan kedudukan Raja-Raja Melayu(perkara 181).

AKTA HASUTAN 1948 MALAYSIA

Undang-undang ini mempunyai 11 peruntukan (provisions) dan saya berpandangan seksyen 3 adalah kandungan yang terpenting. Secara asasnya, seseorang ini boleh didakwa di bawah Akta Hasutan apabila mempunyai “kecenderungan mengasutan” atau “seditious tendency”.


Menurut seksyen 3 , kecenderungan menghasut ialah kecenderungan;

(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.
 (b) bagi membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa cara selain cara yang sah.
 (c) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau mana-mana negeri. 
(d) Bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat yang dipertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana negeri dalam kalangan pendudukan Malaysia atau rakyat mana-mana negeri. 
(e) bagi mengembangkan perasaan niat jahat untuk mencetuskan pergaduhan antara kaum. 
(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf atau kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan dilidungi oleh peruntukan bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.


MANSUH ATAU PINDA?


Saya melihat perkara ini dalam kerangka yang lebih besar. Sama ada ingin mansuh atau pinda ia akhirnya jatuh kepada kuasa orang politik di parlimen. Kedua-duanya boleh dilaksanakan dan ada baik dan buruknya.

Tetapi, jika difikirkan semula apabila kita menelaah kembali perkara dan kejadian lepas. Sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional, saya berpandangan bahawa “substance” atau kandungannya nanti tidak akan berubah secara drastik apabila perkara-perkara pokok masih dikekalkan.
Contohnya, seperti ISA diganti dengan SOSMA. Ia cuma lebih baik kerana pesalah dibicarakan.

 Tetapi, kenyataan SUHAKAM baru-baru ini jelas ia masih melanggar hak asasi dan syarat undang-undang keselamatan yang ditetapkan.

Namun begitu, saya tidak mampu mengulas lanjut kerana ada kemungkinan undang-undang tersebut akan menjadi lebih baik. Tapi malangnya ia masih belum dibentangkan.

Terdapat pihak yang berpandangan bahawa Akta Hasutan ini melanggar hak asasi serta tidak sah. Hakikatnya akta hasutan ini adalah undang-undang yang sah apabila peruntukan disediakan dalam perkara 10(2)(a) dan perkara 10(4).

Jika dilihat dengan teliti, masalah terbesar dalam akta ini adalah penggunaan istilah “hasutan” yang begitu luas. 

Secara teknikal, ia adalah subjektif dan boleh ditafsir menurut apa jua cara. Tambahan pula, kata seperti “kebencian”, “penghinaan”, “perasaan tidak puas hati” dan “niat jahat” juga mempunyai tafsiran yang longgar.

Seseorang itu mungkin boleh dikatakan menghina apabila mengkritik tetapi mengkritik pula tidak semestinya menghina. Ironinya, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, proses timbang dan periksa (check and balance) amatlah penting bagi mewujudkan kestabilan dalam pemerintahan.


Justeru, jika tidak dapat dimansuhkan sekalipun, cadangan ini adalah alternatif dan hal seperti ini harus diperketatkan apabila maksud setiap perkara dikemukakan dengan lebih jelas sebagai panduan dalam melaksanakan akta ini. Prosedur penangkapan juga harus dikaji semula dan ia tidak harus digunakan mengikut selera golongan berkepentingan.

Berkemungkinan jika akta ini ingin dipinda , perkara – perkara ini harus dilihat dan difokuskan supaya lebih jelas. Ini penting bagi mengelak berlakunya tangkapan-tangkapan yang menjurus kepada “mala fide” atau niat jahat bagi tujuan politik.

Selain itu, masalah lain yang timbul dalam implementasi akta ini adalah “selective prosecution” atau dalam bahasa lebih mudah difahami adalah “pilih bulu”. Menurut kes-kes yang lepas, kebiasaannya pandangan politik yang membangkang atau ke kiri sahaja yang ditangkap.

Contohnya, aktivis mahasiswa Adam Adli telah ditangkap kerana menyeru rakyat turun ke jalan raya bagi melawan keputusan pilihan raya.

Tetapi, adakah wujud siasatan dan tangkapan terhadap kenyataan Ibrahim Ali daripada PERKASA yang menghasut supaya membakar bible?

Sekali lagi, pentafsiran baru harus dilaksanakan. Mungkin jika tidak boleh dimansuhkan sekalipun undang-undang ini harus dikaji oleh sebuah suruhanjaya bebas. 

Badan bukan kerajaan (NGO) juga harus membuat pemantauan lebih kerap dan keras ketika akta ini diimplementasi nanti.


APAKAH KAITAN PENDIDIKAN DAN AKTA HASUTAN?

Menurut akta ini, isu sensitif seperti kedudukan Melayu, Raja Melayu, Islam dan Bahasa Melayu tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak.

Sebagai contoh dalam kes Public Prosecutor v Ooi Kee Saik and Ors (1971), defendan telah didakwa kerana menyentuh hal – hal istimewa orang Melayu.

Seperti kita tahu tujuan pendidikan di Malaysia telah diterangkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan antara perkara terpenting adalah bagi tujuan menyatukan semua kaum dalam negara ini.

Justeru, adakah matlamat kita tercapai? Adakah semua kaum dalam negara ini memahami sistem yang kita amalkan pada hari ini? Adakah semua memahami konsep undang-undang dan kaitannya dengan latar sejarah negara ini?

Secara peribadi, saya menganggap bahawa rakyat kita sudah mulai cerdik tetapi dalam usaha untuk kita mengembalikan demokrasi tulen dalam negara ini wajar disertakan dengan pembangunan dan pembaikan sistem pendidikan yang benar-benar membentuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, tidak mustahil nanti undang-undang ini langsung tidak diperlukan lagi kerana masyarakat sudah faham dan tahu nilai hormat-menghormati antara satu sama lain.

KESIMPULAN

Akhir sekali, mansuh atau pinda adalah pilihan dan kedua-duanya mempunyai impak yang berbeza. Tetapi, apa yang harus ditekankan di sini adalah undang-undang tua ini masih boleh diguna pakai sekiranya keadaan tidak membenarkan ia dimansuhkan.

Seluruh pemimpin di dewan parlimen harus bertolak-ansur dan meletakkan kepentingan rakyat lebih dari segalanya dalam isu-isu seperti ini. Diharapkan tindakan akan dibuat menurut kehendak semasa dan bukanlah bagi tujuan kepentingan politik sahaja demi Malaysia yang lebih baik.

Tulisan ini diterbitkan di laman The Malaysian Insider dan prisma.com.my

No comments:

Post a Comment