Sunday, December 21, 2014

Orang Melayu harus belajar tertawakan diri sendiri

“Sesebuah bangsa yang maju mesti mempunyai keupayaan untuk mentertawakan diri sendiri.” - Raja Ahmad Aminullah


Selepas lebih lima dekat Merdeka, perbincangan soal Melayu masih tidak lekang dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Betapa hebatnya dasar pecah dan perintah tinggalan British, sehinggakan kini masih memecahkan-mecahkan rakyat kepada beberapa bangsa walaupun hakikatnya tidak salah meletak satu label iaitu kita adalah rakyat Malaysia (Malaysian).

Namun, saya tidak rasa ini salah sesiapa, keadaan di Malaysian tidak boleh dibandingkan dengan Indonesia seperti yang pernah saya fikir dahulu. Batu asas (foundation) penubuhan kedua-kedua negara ini adalah berbeza sama sekali. 

Dalam beberapa dekad daripada sekarang, saya tidak rasa pecah-pecahan ini akan berubah. Malah, ada mungkin hal ini akan kekal hingga ke akhirnya.

Saya tidak pernah gusar tentang label ini. Sejak merdeka, label dan pecahan bangsa ini langsung tidak menimbulkan masalah. Malah, parti dan kesatuan pembangkang sejak dahulu pun menggunakan label  ini dan petah membincangkan isu-isu Melayu. Misalnya, PAS, PRM, KMM, PKMM dsb.

Saya juga tidak pernah gusar dengan pendirian fraksi-fraksi yang menganut fahaman ekstrim kanan (far right) sebagai teras utama. Tetapi, perkara yang menimbulkan resah adalah aksi golongan pelampau kanan baru-baru ini yang saya kira patut difikirkan kita semua.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, ketegangan itu adalah suatu perkara yang biasa. Malah, tidak ada mana-mana negara yang punyai rakyat berbilang bangsa mampu menjadikan rakyatnya benar-benar suci daripada sebarang perbalahan yang bermotifkan kaum. 

Malaysia, adalah sebuah negara di mana secara kebetulan majoriti dan pendudukan asalnya adalah Melayu. Maka, tidak hairanlah Melayu sering berasa kurang selamat (insecure) terutama sekali apabila melihat perkara-perkara yang dianggap sebagai suatu ancaman seperti monopoli dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dsb.

Cuma perkara yang saya kira harus tertawakan, adalah tindakan menakut-nakutkan Melayu yang dahulu pernah dimainkan lima puluh tahun dahulu, kini dimainkan semula oleh penggerak-penggerak ekstrim Melayu ini. Orang Melayu ditakut-takutkan dengan kehilangan sistem beraja, kehilangan status Islam sebagai bahasa kebangsaan, kehilangan kedudukan Bahasa Melayu dan kehilangan keistimewaan Melayu yang dinikmati selama ini.

Mungkin saya yang tidak faham atau kumpulan ini yang kurang faham saya tidak pasti, tetapi apa yang pasti pemimpin kita pada masa lampau sudah pun berfikir soal ini.

Oleh itu, perlembagaan kita yang menjadi norma asas (grundnorm) dan tonggak kepada penubuhan negara merdeka ini telah diberi satu peruntukkan tentang pindaan atau pemansuhan nilai-nilai tradisi yang disebutkan tadi.

Jika tidak percaya, boleh rujuk perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, segala pindaan yang menyentuh isu-isu ini perlu mendapat sokongan 2/3 majoriti parlimen serta perkenan (consent) Majlis Raja-Raja Melayu. 

Secara logiknya, adalah suatu yang tidak berasas apabila MRRM boleh membiarkan sahaja perkara-perkara ini disentuh tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Sudah lupakah yang MRRM memang ditugaskan untuk menjaga hal-hal orang Melayu dan agama Islam?

Perkara ini sudah saya bawa dan tanyakan kepada ramai pihak sejak tahun 2011, tetapi masing-masing hanya diam dan menafikan perlindungan ini yang jelas wujud dalam perlembagaan.

Justeru, orang Melayu harus mula fikir dan tertawakan diri sendiri kerana pada waktu ini, kita asyik takut dengan bayang-bayang sendiri.

Apa yang penting bagi orang Melayu adalah memikirkan soal pembangunan masyarakat yang kini masih jauh tertinggal walaupun sudah lebih lima dekad menikmati kemerdekaan.

Saya menghormati usaha-usaha badan bukan kerajaan Melayu ini dalam menegakkan nilai-nilai tradisi penduduk asal, tetapi saya kira banyak lagi isu-isu yang boleh dibawa berbanding perkara yang sudah terang lagi bersuluh akan terpelihara selagi wujud entiti beraja dalam negara ini.

Daripada ditertawakan sendiri oleh orang Melayu, lebih elok sekiranya bicara soal-soal pendidikan, ekonomi, politik matang, supaya kelak Melayu akan dapat bangun dan bebas daripada sebarang ketakutan yang sebenarnya menghalang kemajuan kita selama ini.

Jika benar mahu main politik, eloklah sertai parti politik. Jangan kerana sibuk mahu dapat perhatian dan kepentingan politik, akhir nanti selamanya kumpulan-kumpulan ini ditertawakan oleh rakyat sendiri.

No comments:

Post a Comment