Sunday, June 24, 2012

UiTM Gantung Khalid Ismath



 Tulisan ini cuma sekadar suatu ingatan dan kenangan dalam rencah perjuangan mahasiswa yang penuh dengan cabaran. Mungkin agak terlewat untuk berkata sesuatu tentang penggantungan Khalid Ismath, Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan mahasiswa Fakulti Undang - Undang UiTM. Tetapi, kenangan akan terus menjadi satu kenangan sama ada manis ataupun pahit.

 Buat aktivis dan pemerhati politik sendiri mengetahui tentang kes penahanan Khalid Ismath yang dikaitkan dengan isu 'terajang polis' ketika Bersih 3.0 yang lalu. Namun begitu, kes yang mendapat perhatian umum ini mencapai kemuncaknya apabila Khalid menerima satu surat berkenaan dengan prosiding tindakan tatatertib yang bakal dikenakan ke atasnya atas tiga pertuduhan.

1. Ponteng kelas dan peperiksaan.
2. Menghina pemimpin negara.
3. Memalukan nama universiti.

 Sebelum ini kita dapat lihat bahawa sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan NGO mereka Waris Wawasan (WARIS) yang dipimpin Saudara Kamal Maarof Abdul Jamal telah menyerahkan memorandum supaya mengenakan tindakan ke atas Khalid kepada Naib Canselor UiTM Prof Ir. Dr. Sahol Hamid. Selain itu, VC UiTM juga telah memberikan beberapa ulasan yang kiranya Khalid benar - benar bersalah. Besar kemungkinan beliau akan dipecat.




 Dan pada pagi 8 Jun 2012 kira-kira jam 9 berlangsung prosiding tatatertib ke atas Khalid Ismath di budisiswa HEP UiTM. Beberapa sekatan jalan raya di sekitar pintu pagar UiTM menunjukkan seolah - olah kampus akan diserang garuda dan samseng. Terdapat juga beberapa banner yang aku kira 'menghasut' digantung di sekitar kampus.

 Aku datang kira - kira jam 9.30 pagi ketika itu lantas menuju ke arah segerombolan mahasiswa di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia. Mujur pada pagi tersebut akan dikehendaki masuk kerja pada jam 6 Petang. Oleh itu, dapat aku luangkan sedikit masa ke UiTM bagi memberikan sokongan moral serta memerhati apa yang bakal terjadi.

Turut kelihatan mahasiswa UiTM di suatu tempat yang lain. Pelbagai pihak termasuk kumpulan yang menyerahkan memorandum tersebut turut sama menunggu keputusan. Prosiding agak lama dan berlangsung hampir tiga jam.

Selesai prosiding, Khalid berucap sebentar dihadapan Budisiswa dan akur dengan tindakan yang dikenakan ke atasnya iaitu gantung tiga semester. Hukuman penggantungan itu disampaikan oleh Panel Disiplin UiTM yang dikuatkuasakan September hingga suku 2014. Seterusnya, mahasiswa beredar dan menuju ke satu restoran di Seksyen 7 Shah Alam untuk bersama-sama memperdengar kenyataan media yang akan dibuat oleh Khalid.

 Dalam kes ini, aku tidak menafikan bahawa terdapat beberapa perkara yang sebenarnya terjadi kerana salah Khalid sendiri seperti hal kelas dan peperiksaan. Selain itu, beberapa tindakan Khalid seperti status di Facebook dan juga peranan dalam demo PTPTN itu juga aku tidak sangkal bakal memberi risiko kepada Khalid sendiri. Mengenali Khalid, aku tahu bahawa Khalid sudah bersedia dengan tindakan sebegini yang bakal dikenakan ke atasnya.

 Aku tidak berminat untuk menulis dan mengulas berkenaan dengan isu perundangan dalam entry ini kerana ia bakal memakan masa dan memanjangkan lagi entry. Namun, aku pertikaikan tentang hukum 'memalukan nama universiti' yang bersifat umum dan tidak dispesifikasikan. Andai kata, seoarang mahasiswa itu melakukan demo dan melaungkan kata-kata yang menghina tetapi berpihak pada pemerintah sekarang, adakah UiTM sanggup mengenakan tindakan atas alasan memalukan nama universiti?

Ia adalah sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada penilai. Diharap Khalid akan terus sabar dalam menjalani cabaran perjuangan. Ada perkara yang aku setuju, namun aku juga mengaku bahawa ada juga perkara yang aku kurang setuju. Henry David Thoreau seorang penyair amerika pernah menyebut 'we walk in a different way." Bukankah hidup itu milik kita ? Kita bebas memilih jalan kita sendiri.

No comments:

Post a Comment